Wednesday, January 26, 2011

Rekod Terengganu terus tercalar

Oleh Apa Khabar Ganu Kita

http://buletinonline.net/images/stories/berita40/dadah4jan2011.jpg- Penagih meningkat 21%, Pengedar Bertambah 24%, 11,539 keseluruhan
Terengganu adalah antara negeri yang paling 'top' berkaitan penagihan dadah dan pengedaran dadah di Malaysia apabila pada bulan September tahun lalu dilaporkan Terengganu merekodkan jumlah penagih dadah yang tinggi.

Sepanjang tujuh bulan pertama tahun 2010, sebanyak 1,584 penagih berbanding hanya 108 bagi tempoh yang sama tahun lalu iaitu meningkat kepada 1,366.67 peratus.

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri Terengganu Wan Addenan Wan Mohd Noor berkata, daerah Besut mencatatkan bilangan penagih paling tinggi iaitu seramai 445 diikuti daerah Kemaman (351) dan Kuala Terengganu (229) manakala Dungun (188), Hulu Terengganu (128) dan Setiu (91).

Sehubungan itu, polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu telah berjaya menangkap seramai 357 pembekal dadah di negeri ini Sepanjang tahun lalu (2010)

Ketuanya, Superintendan Roslan Abdul Wahid berkata, jumlah itu meningkat seramai 68 orang, iaitu sebanyak 24 peratus pada 2009, yang hanya berjumlah 289 orang.

Menurutnya, pengedar yang tidak dapat dituduh, di bawah langkah-langkah pencegahan khas (LLPK) 1985 berjumlah 88 orang berbanding 81 orang pada 2009, meningkat sebanyak sembilan peratus.

“Jumlah pengguna dadah bagi tahun 2010 pula adalah seramai 11,094 orang, berbanding 9,190 orang pada 2009. Ia menunjukkan peningkatan seramai 1,904 orang atau bersamaan 21 peratus.

“Jumlah keseluruhan bagi pengedar dan pengguna dadah dan mereka yang di bawah LLPK adalah 11,539 orang, berbanding 9,560 pada 2009, iaitu peningkatan seramai 1,979 orang atau 21 peratus,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya.

Menurut beliau, jumlah individu yang dituduh di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung mandatori sekiranya didapati bersalah juga meningkat, iaitu seramai 81 orang pada 2010.

Katanya, semua pesalah telahpun dituduh di mahkamah. Berbanding pada 2009, jumlahnya hanya 47 orang iaitu meningkat 34 orang atau bersamaan 72 peratus.

Menurutnya, peningkatan jumlah pengedar dan pengguna dadah sejak akhir-akhir ini amat membimbangkan dan beliau mengharapkan satu langkah terbaik dilaksanakan bagi mengekang masalah ini, termasuk memulihkan penagih sedia ada daripada kembali menagih.

Katanya, jumlah keanggotaan kira-kira 200 orang di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu kini sebenarnya terlalu kecil bagi mengekang masalah dadah secara keseluruhannya.

“Pihak polis mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam membanteras aktviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah ini yang banyak merosakkan generasi belia dalam masyarakat hari ini,” katanya.

Sementara itu, dalam bulan Januari, sehingga kini, sekurang-kurangnya 5 berita berkaitan dadah yang dipaparkan dalam media perdana sebagaimana dibawah.

Baca seterusnya dari sumber>>>

No comments:

Post a Comment