Salam For All:
Pada tanggal 15 Januari 2011 (Sabtu) ini, PAS Terengganu akan mengadakan satu perhimpunan besar dinamakan “Himpunan Kebangkitan Rakyat PAS Ganti Umno” yang akan diadakan di Dataran Tok Guru Nik Aziz di Kampung Geliga Besar, Chukai, Kemaman.
Himpunan tersebut sebenarnya bagi menyuntik semangat serta mewujudkan gelombang perubahan di kalangan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, akan datang.
Tema “PAS Ganti Umno” akan digarap dengan baik di negeri ini agar seiring dengan ‘mood’ rakyat disemua peringkat lapisan masyarakat yang mahukan perubahan.
Sesungguhnya, sudah tiba masa PAS menggantikan Umno di Terengganu dan orang Melayu perlu penyokong sengan menyertai PAS sebagai wadah penyelamat di negari ini.
Hari ini, kerajaan Barisan Nasional Terengganu semakin hilang fokusnya terhadap rakyat apabila terdapat di kalangan pemimpin serta ahli Umno lebih mengejar status dan kemewahan.
Jika diteliti satu persatu terdapat lebih dari 23 perkara besar yang rasional kenapa Umno perlu digantikan dengan PAS sebagai pemerintah.
Antaranya, Islam tidak dijadikan dasar perjuangan Umno kerana penubuhan parti itu pada 11 Mei 1946 adalah untuk menentang Malayan Union. Bahkan, Umno juga mengamalkan dasar yang pragmatis mengikut suasana serta kehendak pihak tertentu.
Umno hanya menjadikan Islam sebagai ‘kuda’ tunggangan. Mereka memperalatkan Islam untuk kepentingan politik. Mereka memperkenalkan slogan Islam Hadhari yang merupakan program penerapan nilai-nilai Islam yang dipakej semula dengan ‘botol’ baru.
Pemimpin-pemimpin Umno juga memperalatkan Melayu serta hak keistimewaan orang Melayu bagi kepentingan peribadi. Mereka hanya menjadikan Melayu itu sebagai ‘batu loncatan’ dengan mempergunakan Perkara 153 dalam Perlembagaan bagi mengaut keuntungan peribadi dan kaum keluarga.
Sebenarnya, di mana tempat yang Umno kuat disitulah orang Melayu merempat serta tidak dipedulikan oleh pemimpin BN.
Selagi Umno-BN menjadi kerajaan kuasa politik negara dalam keadaan bahaya kerana sejarah membuktikan kita telah kehilangan Singapura kerana kesilapan Umno-BN yang memerintah ketika itu.
Oleh kerana itu, menjadi satu tanggungjawab serta kewajipan yang besar kepada PAS dan Pakatan Rakyat hari ini menyelamatkan umat dengan Islam.
“Kita juga kena ajak orang Umno untuk buat perubahan. Negara kita dalam keadaan bahaya. Ini memerlukan kesabaran dan kena didik mereka (Umno) ini.
“Kita kena faham, kehilangan Singapura kerana kesilapan pemimpin Umno-BN. Kehilangan kuasa politik Islam di Pulau Pinang juga kerana Umno-BN. Ini kesilapan Umno yang kita kena betulkan.
“Kita mempunyai satu tanggungjawab dan kewajipan yang besar untuk menyelamatkan umat kita dengan Islam dan hanya Islam yang boleh menyelamatkan kita,” tegas Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika merasmikan Pelancaran Gerak Kerja Pilihan Raya PAS Dewan Undangan Negeri (Dun) Sura di Surau Kubur Kampung Molek, Dungun, 9 Disember lalu.
Justeru itu, katanya mana-mana kerajaan yang menolak hukum Islam mesti digantikan dengan kerajaan Islam khususnya di Terengganu.
Menurut Ustaz Abdul Hadi, umat Islam khususnya pendokong parti gerakan Islam PAS mesti berusaha mengembalikan semula kemenangan Islam di negeri ini setelah ditumbangkan pada tahun 2004.
Katanya, perjuangan Islam bukan sekadar mengajak orang masuk Islam dan beramal ibadat tetapi sehingga berjaya mendirikan kerajaan yang mengikut perintah serta kehendak Allah SWT.
“Kita mesti mengIslamkan kerajaan dan jika kerajaan itu tidak mahu menerima Islam sebagaimana yang diwajibkan oleh Allah SWT. Maka, kita wajib menjatuhkan kerajaan itu dan mendirikan kerajaan Islam. Inilah perjuangan yang dilakukan oleh semua Nabi-nabi dan Rasul-rasul,” jelasnya.
Sejarah Kemenangan PAS Terengganu (1999-2004)
Mengimbau kenangan lalu, PAS Terengganu pernah mencapai kemenangan besar di negeri ini dalam pilihan raya tahun 1999 hingga berjaya menggubal undang-undang Islam.
Kerajaan PAS Terengganu berjaya meletakkan dalam Perlembagaan Negeri hukum yang tertinggi adalah al-Quran, Hadis, Ijma’-ulama’ dan Qias dalam masa sepenggal pemerintahannya.
Dari kemenangan tersebut, PAS telah menunaikan satu asas yang kuat dalam mendirikan kerajaan Islam. Apabila PAS Terengganu berjaya meletakkan satu perkara di dalam Perlembagaan Negeri Terengganu.
Bahawa hukum yang tertinggi bagi negeri Terengganu adalah Quran, Hadis, Ijma’ ulama’ dan Qias. Mana-mana hukum yang bercanggah dengannya akan terbatal dan PAS telah berjaya melaksanakan banyak perkara dalam masa satu penggal pemerintahannya.
Berikutan, kejayaan PAS Terengganu meminda Perlembagaan Negeri tersebut telah menjadi ancaman kepada Umno dan kerajaan BN selepas itu.
Akhirnya, PAS menerima tentangan yang hebat dengan ‘dirampas’ bayaran royalti petroleum serta dilakukan penipuan khas dalam pilihan raya 2004 lalu.
Sesungguhnya, kejayaan PAS Terengganu meminda Perlembagaan Negeri. Undang-undang Syariat yang diluluskan itu ditandatangani oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan. Menandakan Perlembagaan dan Undang-undang yang PAS luluskan itu diwartakan dan hanya negeri Terengganu sahaja.
Pilihan Raya Umum 2008
Gelombang kebangkitan rakyat untuk membuat perubahan perlu dihidupkan dan disemarakkan agar tidak mudah padam dengan tipu daya kebendaan berbentuk material. Umno-BN tetap akan menjadikan wang ringgit sebagai ‘senjata’ utamanya.
PAS berkeyakinan serta tidak mustahil dalam PRU ke-13 akan datang parti itu boleh mencapai kemenangan besar. Sekaligus mencatat prestasi yang lebih baik dari tahun 2008.
Umno-BN kini hanya bergantung kepada jumlah kerusi yang dimenangi oleh rakan-rakannya di Sabah dan Sarawak. Umno tidak mampu untuk menubuhkan kerajaan yang sebenar tanpa sokongan dari komponen BN di Sabah dan Sarawak pada tahun 2008.
Namun begitu, ‘benih-benih’ PAS telah berada di seluruh negeri dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) kecuali di Melaka, Sabah dan Sarawak. Wakil rakyat PAS telah ada di setiap Dun di seluruh negara dan tidak mustahil boleh mencapai kemenangan yang besar kelak.
Tetapi perlu diingatkan bahawa jika PAS mahu diterima dan disokong oleh rakyat, jentera partinya perlu menggunakan bahasa kempen yang memujuk kepada rakyat dan pengundinya.
Senario politik di negara ini majoritinya orang-orang Melayu yang mengaku beragama Islam tetapi tidak faham politik Islam.
Masih terdapat ramai di kalangan rakyat dari kaum Melayu yang mungkin tidak mengetahui dalam Islam adanya pemerintahan.
Dalam agama fadhilat memujuk orang menerima Islam sangat besar dengan pahala yang berterusan dari Allah SWT meski pun Islam tidak menang.
Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata kerja menyampaikan mesej Islam kepada rakyat hendaklah berterusan dan bukan setakat pilihan raya sahaja.
Menurutnya, mesej Islam perlu disampaikan kepada rakyat terutama di kalangan orang-orang Umno yang belum mengenali PAS.
“Jangan kita ingat buat kerja ini untuk menang pilihan raya sahaja. Mesej Islam perlu sampai kepada rakyat. Ini sebahagian dari tugas Pemuda. Kita kena cari sasaran yang tepat termasuk kepada orang-orang Umno yang tidak mendapat maklumat sebenar dari PAS,” ujarnya.
Beliau mengingatkan petugas PAS tidak perlu berdukacita jika ditakdir belum mencapai kemenangan dalam pilihan raya akan datang.
Peringatan itu, katanya bukan kerana tidak yakin PAS Terengganu boleh mencapai kemenangan tetapi usah terlalu ‘ghairah’.
Menurutnya, perjuangan Islam tetap dijanjikan kemenangan oleh Allah SWT sekali pun tidak di dunia tetapi di akhirat.
Selamatkan Negeri dari ‘Bankrap’
Benarlah, kemenangan Islam itu bukan boleh dicapai dengan mudah tanpa perancangan kerja yang rapi, jentera yang tersusun, semangat juang yang tinggi, ikhlas serta mengharapkan pertolongan dari Allah SWT.
Terengganu Darul Iman mesti diselamatkan dari kerakusan pemerintah Umno-BN yang bakal membawa negeri ini ke arah ‘kebankrapan’
Kerajaan BN Terengganu banyak melakukan penyelewengan dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, politik dan undang-undang.
Ahli-ahli dan penyokong PAS perlu menggunakan isu penyelewengan tersebut bagi membuktikan kepada rakyat bahawa sudah tiba masanya PAS menggantikan Umno sebagai pemerintah.
Sehubungan itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Harun Taib berkata sama ada orang Umno suka atau tidak PAS wajar menggantikan Umno-BN dalam pilihan raya akan datang.
Malah, kata Ustaz Harun Umno-BN Terengganu boleh menjadikan negeri ini 'bankrap’ kerana telah membelanjakan kesemua wang kerajaan.
“Negeri Terengganu ini duit banyak tapi belanja tidak cukup. Terengganu ini hampir bankrap dan boleh kata bankraplah.
”Dalam (pembentangan) Bajet 2011 (di Sidang DUN) baru-baru ini habis ‘pitis’ (wang) tinggal RM200,000 sahaja,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manir mendakwa Umno Terengganu bukan sahaja membelanjakan wang royalti petroleum, bahkan wang dari sumber Kumpulan Wang Disatukan dan Kumpulan Wang Amanah.
“Habis pitis (wang) dia buat belanja belaka. Pasal apa pitis itu bukan pitis dia, pitis orang dia buat belanja juga…sebab itu, saya kata kerajaan Umno-BN Terengganu ini ‘kemaruk’.
”Pitis royalti (petroleum), pitis itu, pitis ini dia buat belanja belaka, dia panggil pitis Kumpulan Wang Yang Disatukan. Duit ini habis dia belanja tidak ada ‘skepeng habuk’,” jelasnya.
Belanjawan 2011
Begitu juga jika dilihat kepada Bajet 2011 yang dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu pada 14 Disember lalu tidak ada beza dengan bajet yang dibentangkan tahun-tahun sebelumnya.
Kononnya, Bajet 2011 adalah seimbang tetapi hakikat yang berlaku defisit untuk sekian lama terus ‘membengkak’ dan ‘bernanah’.
Kerajaan BN Terengganu masih tidak fokus dan gagal menjana hasil negeri serta terus-menerus bergantung kepada hasil ‘dana khas’ (wang ehsan).
Pada tahun 2006, kerajaan negeri membentang bajetnya berjumlah RM1.55 bilion, tahun 2007 (RM1.614 bilion), tahun 2008 (RM1.673 bilion), tahun 2009 (RM1.799 bilion), tahun 2010 (RM1.881) bilion dan untuk tahun 2011 ini naik lagi kepada RM1.887 bilion.
Terengganu mengemukakan bajet yang tertinggi di Semenanjung tidak termasuk Sabah dan Sarawak. Berbanding dengan Selangor RM1.43 bilion, Pulau Pinang RM935 juta, Perak RM862.33 juta dan Johor RM814.12 juta.
Malah, kerajaan negeri dilihat mengharapkan kebergantungan kepada hasil dana khas atau wang ehsan terlalu tinggi.
Tahun 2010, dari anggaran hasil RM1.881 bilion atau 92 peratus itu sejumlah RM1.73 bilion adalah perolehan sumber kerajaan Pusat termasuk dana khas dan bakinya hanya lapan peratus atau RM163 juta sahaja dari sumber negeri.
Senario ini berulang dan kerajaan menganggarkan tahun 2011, akan mendapat hasil RM1.887 bilion tetapi jumlah tersebut RM1.669 bilion atau 90 peratus diunjurkan dari kerajaan pusat iaitu dana khas dan hanya RM188 juta atau 10 peratus sahaja dari sumber negeri.
Maka, tidak hairanlah setiap tahun bajet terus meningkat tetapi dalam waktu sama kutipan sebenar hasil kerajaan negeri terus merudum mengakibatkan defisit terus meningkat.
Pada tahun 2007, dikemukakan bajet RM1.614 bilion tetapi hasil sebenar (royalti) hanya RM1.262 bilion. Tahun 2008 pun begitu, kemukakan bajet RM1.673 bilion tetapi hasil sebenar hanya RM1.643 bilion.
Tahun 2009, RM1.799 bilion dikemukakan bajet tetapi hasil sebenar hanya RM1.511 bilion. Tahun 2010 lulus RM1.881 bilion dan tahun 2011 lulus bajet RM1.887 bilion tetapi hasil dijangkakan terus defisit seperti tahun-tahun sebelumnya.
Laporan Ketua Audit Negara juga turut mengesahkan kedudukan kewangan negeri Terengganu ini semakin parah jika tidak diperbetulkan.
Menteri Besarnya, Dato’ Seri Ahmad Said sendiri mengakui dalam buku Bajet 2011 defisit tersebut adalah disebabkan kerajaan tidak menerima sepenuhnya Pemberian Dana Khas daripada kerajaan Persekutuan sebagaimana anggaran Bajet tahun 2007, 2008 dan 2009.
Sehingga akhir 2009, Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri telah mencatat penurunan sebanyak RM164.2 juta atau 40.6 peratus. Pada tahun 2009, Akaun Hasil Disatukan mencatatkan defisit sejumlah RM274.5 juta menjadikan defisit terkumpul meningkat kepada RM699.01 berbanding RM424.96 juta sebelumnya.
Laporan audit juga mengesahkan kerajaan negeri masih menggunakan sumber dari Akaun Amanah Disatukan sebagaimana tahun 2008 untuk menampung defisit yang berlaku sekian lama.
Malah, hingga kini hutang kerajaan negeri Terengganu kepada kerajaan Pusat terus meningkat melebihi RM1 bilion. Hutang kerajaan negeri pada tahun 2006 sebanyak RM903.05 juta, tahun 2007 (RM937.87 juta), tahun 2008 (RM997.6 juta) dan tahun 2009 sebanyak RM1006.96 juta.
Ketuanan Melayu ‘senjata makan tuan’
Hakikatnya, Umno-BN yang mendabit dada membela nasib orang Melayu sebenarnya telah gagal merealisasikan ‘Ketuanan Melayunya’ terutama terhadap para peneroka Felda di seluruh negara.
Faktanya, Felda didiami oleh 95 peratus orang Melayu sejak ditubuhkan sebagai Badan Berkanun di bawah Fasal 3 Ordinan Pembangunan Tanah 1956. Pada dasarnya, penubuhan Felda didorong oleh beberapa faktor utama yang membabitkan masalah kemiskinan, pengangguran dan taraf hidup rakyat.
Jika Umno hendak menjaga ‘Ketuanan Melayu’ di tanah rancangan Felda inilah sebenarnya tempat yang paling baik untuk Umno-BN berbakti dengan Ketuanan Melayu.
Statistik terkini bilangan peneroka Felda terdapat seramai 112,635 orang di 317 Tanah Rancangan Felda di seluruh negara. Dan negeri Pahang mempunyai jumlah peneroka paling ramai iaitu 43,123 orang, Johor (27,641) dan Negeri Sembilan (16,429) orang majoritinya Melayu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Ahmad Maslan masih gagal menyelesaikan beberapa isu peneroka sehingga terdapat 4000 peneroka bersedia untuk mengambil tindakan menyaman Felda.
Antara tuntutan peneroka Felda iaitu mengenai wang tanam semula berjumlah RM1700 satu ekar dan isu kadar perahan gred yang perlu dinaikan. Kadar perahan gred kelapa sawit masih kekal dengan 19 peratus dan minta dinaikan sebanyak 23 peratus.
‘Api’ Perkauman
Pemimpin Umno terutama di zaman pemerintahan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah orang yang bertanggungjawab ‘menjahanamkan’ Melayu-Islam di negara ini.
Sekaligus menafikan kuasa politik Melayu akan hilang di negara ini jika Pakatan Rakyat yang terdiri dari PAS, PKR dan DAP menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, akan datang.
Akibat dari bimbangan kerajaan BN akan tewas dalam pilihan raya (PRU ke-13) kelak telah memaksa Umno memainkan semula ‘lagu-lagu perkauman’.
Pandangan ‘songsang’ Tun Dr Mahathir dalam pilihan raya akan datang jika Umno kalah Melayu akan ‘hilang’. Jika Pakatan Rakyat menang Cina dan Indialah yang memerintah negara ini adalah salah.
Sebenarnya, tindakan para pemimpin Umno-BN tersebut memainkan ‘lagu-lagu perkauman’ adalah bertujuan menakut-nakutkan orang Melayu di kampung dan di pendalaman.
Ini kerana, undi serta sokongan orang-orang Melayu di kampung-kampung dan di kawasan pendalaman merupakan ‘bank deposit’ kepada Umno-BN.
Menang ‘Simple’ majoriti
Pada PRU akan datang, PAS Terengganu hanya memerlukan ‘simple’ majoriti 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk kembali memerintah negeri ini. Secara mudahnya, ‘simple’ majoriti 17 kerusi tersebut sudah boleh memerintah negeri Terengganu.
PAS perlu meraih undi di kalangan pengundi atas pagar, pengundi muda serta pengundi yang protes terhadap Umno dan kerajaan Barisan Nasional. Berdasarkan sedikit kajian, jika PAS berjaya mendapat tiga peratus undi dari kalangan pengundi yang pernah mengundi BN sudah dikira boleh menang.
Pengarah Jabatan Pilihanraya Negeri (JPN) PAS Terengganu, Ustaz Ariffin Deraman berkata PAS negeri hanya memerlukan sebanyak empat peratus undi dalam pilihan raya akan datang.
“Kita (PAS) di Terengganu ini, kita hanya perlu empat peratus sokongan pengundi dari keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu dan PAS akan menang serta boleh menguasai kerajaan.
“Empat peratus pun tidak sampai dan dengan empat peratus pun kita sudah dapat 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu.
“Jumlah (empat peratus) ini kecil sahaja dan kita yakin mampu dicapai dalam pilihan raya akan datang, Insya’Allah,” tegasnya.
Berkait dengan daftar pemilih baru di Terengganu menunjukkan masih terdapat 77,000 orang atau 12 peratus yang belum berdaftar sebagai pengundi yang sah dan paling sedikit di seluruh negara.
Sasaran PAS antara 17 hingga 20 kerusi di Dun Terengganu tidak sukar jika berlaku peningkatan peratusan undi sebanyak empat peratus tersebut.
Kaji selidik Harakah mendapati jumlah jumlah kerusi Dun yang PAS kekurangan undinya dibawah 1000 undi sebanyak lapan Dun.
Pertama, Dun Jabi pada PRU Ke-12 lalu calon PAS, Dr Azman Ibrahim yang memperolehi sejumlah 5,560 undi tewas kepada calon BN, Ramlan Ali (6,364 undi) dengan majoriti 808 undi. Jumlah undi 12,075 dan undi rosak sebanyak 151 undi.
Kedua, Dun Tepoh calon BN, Mohammad Ramli Nuh yang memperolehi 8,455 undi menewaskan calon PAS, Abu Bakar Abdullah yang mendapat 8,025 undi dan majoritinya sebanyak 430 undi. Undi rosak 192 undi dari jumlah 16,672 undi. Ustaz Abu Bakar adalah Yang Dipertua PAS Kuala Nerus.
Ketiga, Dun Teluk Pasu calon PAS, Ridzuan Hashim yang juga Ketua Pemuda PAS Kuala Nerus mendapat sejumlah 6,817 undi kalah kepada calon BN, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said (7,279 undi) dengan majoritinya 462 undi. Jumlah undi 14,096 undi.
Keempat, Dun Alor Limbat yang pernah ditandingi oleh Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali memperolehi sebanyak 7,936 undi dan dikalahkan oleh calon BN, Alias Abdullah yang mendapat 8,735 undi dengan majoriti 799 undi. Jumlah undi 16,899 undi dan yang rosak 228 undi.
Kelima, Dun Pengkalan Berangan apabila calon BN, Yahaya Khatib Mohamad yang mendapat sejumlah 8,900 undi menewaskan calon PAS, Mohd Deraman (7,970 undi) dengan majoriti 930 undi. Undi yang rosak sebanyak 295 undi dari 17,165 undi.
Keenam, Dun Rantau Abang yang pernah dimenangi oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS, Azman Shapawi Abdul Rani tahun 2004 tetapi tewas kepada calon BN, Za’abar Mohd Adib yang memperolehi 7,372 undi dan calon PAS, Azman Shapawi mendapat 6,582 undi. Majoritinya, 790 undi daripada 14,192 undi.
Ketujuh, Dun Paka yang ditandingi oleh Timbalan Pesuruhjaya (III) PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat sebagai calon PAS berjaya memperolehi 8,462 undi tewas kepada calon BN, Zakaria @ Mohamed Ariffin Abdullah (8,806 undi) dengan majoriti 344 undi daripada 17,455 undi.
Dan yang kelapan, Dun Chukai calon PAS yang juga Penolong Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu, Hanafiah Mat yang memperolehi 8,772 undi tewas kepada calon BN, Dato’ Mohamed Awang Tera (9,541 undi) dengan majoriti 769 undi daripada 18,530 undi. Undi rosak 193 undi.
Jika Dun-dun tersebut dapat dijinakkan kembali seperti mana kemenangan PAS pada PRU Ke-10 tahun 1999 yang lalu, kerusi-kerusi berkenaan pernah menjadi milik PAS suatu ketika dahulu.
Manakala, lapan lagi kerusi yang telah dimenangi dapat dikekalkan prestasinya akan menjadikan 16 kerusi Dun. PAS Terengganu perlu berusaha untuk menambah satu kerusi sahaja menjadikan 17 kerusi Dun dan menang dengan majoriti mudah.
Namun begitu, paling kurang PAS perlu mendapatkan sejumlah 20 kerusi agar pemerintahannya kelak agak stabil serta sukar digugat oleh anasir-ansir tidak sihat termasuk ’membeli’ calon oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Kerusi Dun milik PAS yang sedia ada seperti Dun Bukit Tunggal, Dr Alias Razak, Dun Wakaf Mempelam (Mohd Abdul Wahid Endut), Dun Ladang (Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar), Dun Batu Burok (Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi), Dun Bukit Payong (Mohd Nor Hamzah), Dun Rhu Rendang (Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang), Dun Manir (Dato’ Harun Taib) dan Dun Sura, Wan Hassan Mohd Ramli.
PAS hanya perlu menang dengan majoriti mudah untuk memerintah negeri meski pun tidak mendapat majoriti dua pertiga kerana kerajaan PAS tersebut tidak perlu lagi meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.
Kesimpulannya, perjuangan PAS yang berlandaskan Islam lebih baik dan layak menjaga bangsa Melayu berbanding Umno serta perjuangannya.
Isu Perpaduan Melayu antara PAS-Umno sengaja ditimbulkan kembali oleh Barisan Nasional apabila Umno semakin lemah serta hilang sokongannya. Dan PAS dengan tegas pendiriannya telah menolak Umno serta memilih Pakatan Rakyat.
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi pendirian parti bahawa PAS menolak Umno dan memilih Pakatan Rakyat.
“Hari ini timbul pula Perpaduan Melayu. PAS dengan Umno, isu (perpaduan) ini sudah selesai (tolak) dua tahun lalu. PAS tolak Umno dan ambil Pakatan Rakyat. Perpaduan Melayu ini hendak jaga Melayu atau hendak jaga Umno.
“Jika hendak jaga Melayu, aku orang PAS lebih pandai jaga Melayu dari mu orang Umno. Aku (PAS) jaga Melayu dari dunia sampai akhirat, mu (Umno) jaga Melayu sampai dekat pintu kubur sahaja,” tegasnya ketika berucap pada majlis Ceramah Isu Semasa di Kuala Terengganu, tidak lama dahulu.
Asas penolakan PAS terhadap Umno kerana parti bersifat kebangsaan itu tidak ikhlas dan akan kembali menyingkirkan PAS setelah Umno-BN kuat sebagaimana pengalaman masa lalu.
Selepas peristiwa 13 Mei yang bersejarah itu, PAS pernah menyertai Barisan Nasional tetapi akhirnya dipecat dan ditendang keluar oleh BN.
Penyertaan PAS dalam komponen BN suatu ketika dahulu atas rundingan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak dengan Dato’ Asri Muda (PAS) apabila berlaku peristiwa berdarah 13 Mei.
Akhirnya, PAS dipecat dan Dato’ Asri meletak jawatan dalam kerajaan BN. PAS turut berpecah ketika itu dan kembali meneruskan perjuangan bersendirian.
Hari ini, PAS telah kembali pulih di Kelantan, Terengganu serta beberapa buah negeri untuk berhadapan dengan Umno-BN. Malah, pelawaan pihak tertentu yang mahu menjadi orang tengah ke arah Perpaduan Melayu PAS-Umno disifatkan ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’.
Aku dulu pun kami suka Pas, seluruh keluarga ku
ReplyDeleteundi Pas.
Tolonglah aduhai bangsaku rentikan berhipokrit. Pas adalah Parti yang bijak. Bijak dalam berkata-kata atas nama Islam.
Dulu aku sangat marah bila Orang Puteh kata Melayu bodoh.
Kini aku mula faham bila Melayu peluk DAP sedangkan ITU SEMUA AGENDA POLITIK PEMIMPIN PAS.
Minta selisih malaikat,
DAP parti kafit harbi sememangnya satu kebodohsanaan. Politik pun politik juga aku tidak redho dengan DAP ni, untung aku kerana
kenal benar dengan DAP nih.