Friday, December 24, 2010

Selamatkan Melayu Islam

Oleh Awang Harun

Salam Saudaraku!:

Melayu Islam perlu diselamat dan dibebaskan dari penjajahan pemikiran yang dibawa oleh Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Umno-BN sememangnya mahukan Melayu Islam ‘bodoh’ dan mudah ‘diperbodohkan’ supaya senang dikontrol oleh parti tersebut.

Melayu Islam perlu sedar dan menyedarkan diri masing-masing jika mahukan perubahan. Perubahan tidak akan berlaku dalam negara ini jika Melayu Islam tidak berubah.

Sebab, orang Melayu masih lagi dominan yang memegang kuasa. Sekali pun Umno tidak lagi memerintah tetapi tetap ada penggantinya, iaitu PAS.

Dan jika Melayu Umno bimbang jika Umno kalah kuasa orang Melayu akan ‘hilang’ itu tidak betul pada teorinya. Sebab, Melayu PAS masih ada dan boleh menggantikan Melayu Umno yang telah lama memerintah dengan penuh kefasidan.

Sebab itu, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata perubahan tidak boleh berlaku kerana 60 peratus pengundi di negara ini merupakan pengundi Melayu Islam.

Katanya, menjadi bertanggungjawab kepada PAS untuk membebaskan pemikiran Melayu Islam yang selama ini ‘dijajah’ oleh Umno.

“Kita (PAS) kena ingat 60 peratus pengundi Malaysia adalah Melayu Islam. Perubahan tidak boleh berlaku sekiranya PAS tidak boleh membebaskan Melayu Islam daripada penjajahan pemikiran yang dibawa oleh Umno.

“Tanggungjawab kita (PAS) untuk membebaskan pemikiran mereka (Melayu Islam) sangat besar dan jentera penerangan PAS perlu menyelesaikan masalah ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Dana Lajnah Penerangan & Dakwah Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, di sebuah hotel, dekat sini, baru-baru ini.

Namun begitu, katanya suatu perkembangan baru berlaku apabila PAS mula mendapat sokongan dari kalangan pengundi bukan Islam.

Menurutnya, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 telah berlaku perubahan di kalangan pengundi-pengundi bukan Islam menyokong Pakatan Rakyat.

Dato’ Seri Abdul Hadi menjelaskan kepercayaan pengundi bukan Islam kepada PAS meningkat sehingga tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

“Pilihan raya (PRU ke-12) 2008, kita (PAS) melihat berlaku perubahan di kalangan pengundi-pengundi bukan Islam menyokong Pakatan Rakyat.

“Kepercayaan meningkat kepada PAS sehingga kita (PAS) menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di kalangan orang bukan Islam. Ini satu perkembangan baru,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan manusia mesti diselamatkan dengan Islam dan bukan dengan bangsa sahaja.

Katanya, jika mahu ditegakkan dengan Melayu sahaja nescaya Melayu dan negara pun tidak selamat.

“Manusia mesti diselamatkan dengan Islam dan inlah yang hendak kita (PAS) perkenalkan dalam tanah air kita (Malaysia).

“Banyak orang bercakap tentang perpaduan Melayu dan menggunakan Islam untuk perpaduan Melayu.

“Jika hendak letakkan Islam di belakang, Islam secara sekular, Islam yang tidak berkuasa dan berdaulat, Islam yang tidak boleh menunjukkan adil kepada semua manusia. Melayu sahaja ditegakkan, melayu tidak selamat dan negara pun tidak selamat,” jelasnya.

Ustaz Abdul Hadi mengingatkan bahawa tidak menjadi kesalahan menyayangi bangsa dan keluarga dalam Islam.

Menurutnya, kesalahan haram serta berdosa jika memutuskan hubungan silaturrahim dan pertalian keluarga.

Tetapi, katanya jika mempertahankan kaum dan keluarga yang ‘zalim’ merupakan suatu perkara yang sangat diharamkan.

“Tidak menjadi salah sayang kepada bangsa, tidak menjadi salah sayang kepada keluarga. Islam mewajibkan hubungan silaturrahim.

“Memutuskan silaturrahim, hubungan keluarga adalah haram dan dosa besar tetapi mempertahankan kaum dan keluarga yang zalim adalah suatu yang sangat diharamkan,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Dato’ Harun Taib, Bendahari PAS Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid, Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ketua Muslimat PAS Terengganu, Safinah Jusoh.

PAS lebih pandai jaga Melayu

Oleh Awang Harun

Salam Sejahtera Untuk Semua;

Perjuangan PAS yang berlandaskan Islam lebih baik dan layak menjaga bangsa Melayu berbanding Umno serta perjuangannya.

Isu perpaduan Melayu antara PAS dan Umno pula sengaja ditimbulkan kembali oleh Barisan Nasional (BN) apabila Umno semakin lemah serta hilang sokongannya.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan pendirian PAS kini menolak Umno dan memilih Pakatan Rakyat.

“Hari ini timbul pula perpaduan Melayu. PAS dengan Umno, isu (perpaduan) ini sudah selesai (tolak) dua tahun lalu.

“PAS tolak Umno dan ambil Pakatan Rakyat. Perpaduan (isu) Melayu ini hendak jaga Melayu atau hendak jaga Umno.

“Jika hendak jaga Melayu, aku (PAS) orang PAS lebih pandai jaga Melayu dari mu (Umno) orang Umno. Aku (PAS) jaga Melayu dari dunia sampai akhirat, mu (Umno) jaga Melayu sampai dekat pintu kubur sahaja,” tegasnya ketika berucap pada majlis Ceramah Isu Semasa di Kampung Panji, dekat sini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan mendakwa PAS lebih pandai untuk menjaga bangsa Melayu dengan agama (Islam) di dunia hingga ke akhirat.

Katanya, Umno tidak ikhlas dan akan kembali menyingkirkan PAS setelah kuat sebagaimana pengalaman masa lalu.

“Saya di antara orang yang kuat menyokong PAS masuk Barisan Nasional selepas peristiwa 13 Mei. Ketika (gabungan PAS-Umno) itu, kita (PAS) ingat dia (Umno) ikhlas.

“Rupa-rupanya, bila dia (Umno) ‘kenyang’ molek, ‘gemuk’ molek…dia (Umno) gigit betis kita (PAS) balik (pula). Pepatah Arab berkata, “anjing kurus bila kamu beri dia gemuk, dia gigit betis kamu”.

Kata Dato’ Nik Aziz, laporan akhbar ketika itu yang mendakwa PAS keluar dari Barisan Nasional sebenarnya PAS telah dipecat.

“Dalam surat khabar tulis (lapor) berita PAS keluar…tidak betul itu. PAS bukan keluar, PAS ‘ditendang’ (dipecat). Setelah Umno rasa gagah, dia (BN) tendang kita (PAS),” ujarnya.

Menurutnya, kemasukkan PAS dalam Barisan Nasional suatu ketika dahulu atas rundingan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak dengan Dato’ Asri (PAS) apabila berlaku peristiwa berdarah 13 Mei.

Beliau berkata selepas PAS dipecat dan Dato’ Asri meletak jawatan dalam kerajaan BN, PAS kembali meneruskan perjuangan bersendirian.

Hari ini, katanya PAS kembali pulih di Kelantan, Terengganu serta beberapa buah negeri untuk berhadapan dengan Umno dan kerajaan BN.

Menurutnya, pelawaan pihak tertentu yang mahu menjadi orang tengah ke arah perpaduan Melayu PAS-Umno disifatkan ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’.

Begitulah ‘seriknya’ Tok Guru Kelantan apabila terdengar sahaja jika ada mana-mana pihak yang hendak ‘merujuk’ kembali dengan Umno-BN.

Ini kerana, parti ‘haprak’ Umno-BN itu disifatkan selalu bercakap bohong serta mempunyai tipu helah tertentu.

Bercakap bohong dengan tipu muslihat samalah seperti bercakap denagn lidah tidak bertulang atau lebih tepat lagi seperti ‘buaya’.

Binatang Buaya ini jika di Zoo memang nampak baik dengan tuan penjaganya yang selalu beri dia makan suap. Tetapi, jika dia rasa terlalu lapar sangat dengan tuan-tuan dia makan sekali.

Itulah, sebabnya kebarangkalian yang pernah dialami oleh Tok Guru Nik Aziz yang mempunyai pengalaman luas serta pernah bersama dalam kerajaan Barisan Nasional ketika PAS dipelawa bergabung.


NOTA: ‘Orang Yang Beriman Tidak Akan Disengat Dua Kali Dalam Satu Lubang’

Saman ekor macam peragut tunggu mangsa

Oleh Alias Mat

Saya menyokong Kempen Anti Saman Ekor (KASE). Ini disebabkan rakyat seperti saya sering teraniaya dengan saman ekor. Anggota polis sering menunggu di kawasan 60 km/j untuk memerangkap kami.

Yang kami persoalkan ialah cara pegawai polis menyaman kami. Semua sudah maklum iaitu pegawai akan bersembunyi di sebalik pokok dan lain-lain supaya kehadiran polis tidak disedari. Kaedah ini sama macam peragut yang menunggu mangsanya leka atau cuai untuk meraih keuntungan.

Kerajaan berjaya mengaut wang saman berjuta-juta. Namun keadaan jalan raya di Malaysia terutama di jalan persekutuan dan negeri tak banyak berubah sejak 10 tahun dahulu.

Saya sering berulang-alik dari Teluk Intan ke Kampar, Perak. Keadaan jalan seperti 16 tahun dulu juga tiada perubahan pun. Ke mana wang saman disalurkan?

Harap KASE berjuang untuk rakyat dan kebenaran.

Sunday, December 19, 2010

Realisasi agenda PAS Ganti UMNO

Oleh Harakahdaily

KUALA TERENGGANU:
PAS menggantikan Umno hendaklah direalisasikan oleh pendukung parti dengan menekankan kepada gerakan dakwah terhadap golongan Umno dan golongan atas pagar, mengelakkan serangan peribadi dan memperbanyakkan aktiviti penerangan melebihi serangan.

Demikian antara resolusi Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu ke-14 yang diadakan di perkarangan Surau Kampung Tanjung Batu Rakit, yang berakhir petang ini.

Di samping itu, Dewan Himpunan Penyokong PAS hendaklah diperkasakan sebagai wahana untuk menjadikan saluran bagi menolak fahaman asabiah perkauman tokok pimpinan Umno BN dan NGO upahan seumpama Perkasa yang bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia seterusnya berintima’ dengan perjuangan PAS bagi menjamin kesejahteraan dan keadilan untuk semua.

“Marilah kita sama-sama meletakkan komitmen untuk melaksanakan resolusi-resolusi yang mewakili hampir keseluruhan cadangan dan lontaran idea yang telah diberi oleh perwakilan dan ulasan pimpinan bertunjangkan kepada ucaptama Tuan Guru Presiden,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Resolusi ijtimak, Mohd Draman ketika membacakan resolusi itu.

Berikut ialah resolusi penuh.

Menyedari bahawa Barisan Nasional (BN) sedang berada di ambang keruntuhan dalam menghadapi pelbagai masalah luaran dan dalaman, sedang PAS Negeri Terengganu terus melangkah memperkasakan kekuatannya bagi memenuhi harapan besar yang diberikan oleh rakyat bagi membawa perubahan kepada negeri Terengganu.

Berasaskan hakikat ini, Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu kali ke-14 yang diadakan pada 23hb Oktober 2010, bersamaan 15 Zulkaedah 1431H yang bertemakan “Demi Kedaulatan Islam; Perkasakan Jihad” dengan sebulat suara membuat gagasan dan resolusi bahawa saf kepimpinan PAS Negeri Terengganu di semua peringkat beriltizam untuk:

Bagi menghadapi pilihan raya umum yang ke-13, maka jentera pilihan raya mestilah digerakkan bermula dari sekarang di semua peringkat mengatasi perancangan dan gerak kerja Umno BN dengan memberi tumpuan kepada pengemaskinian urusan pemilih dan keahlian serta penguasaan ke atas pengundi sasaran.

Meningkatkan kefahaman dan penghayatan petugas-petugas PAS di semua peringkat bagi mengikis penyakit atau budaya negatif seperti futur, isti’jal, ukhuwah yang longgar dan seumpamanya.

Menegaskan bahawa setiap anggota jemaah sama ada pemimpin, petugas atau ahli parti, hendaklah memperkukuhkan sifat-sifat kualiti peribadi dan meningkatkan keupayaan diri dalam memperkasakan jihad dengan memperkukuhkan wala’, thiqah dan intima’ terhadap pimpinan dan jemaah.

Merealisasikan agenda PAS mengganti Umno dengan menekankan kepada gerakan dakwah terhadap golongan Umno dan golongan atas pagar, mengelakkan serangan peribadi dan memperbanyakkan aktiviti penerangan melebihi serangan.

Menyokong, meneruskan dan memperkukuhkan kerjasama politik di kalangan parti-parti dalam Pakatan Rakyat melalui kaedah tahaluf siyasi tanpa menggadai prinsip perjuangan di samping menjadikannya sebagai satu ruang dakwah.

Menerus sumbangan dan komitmen semua petugas dan kepimpinan yang sedia ada dalam memperkasakan PAS benar-benar sebagai sebuah gerakan Islam yang syumul.

Meneruskan proses pembudayaan petugas-petugas PAS dengan gerak kerja berasaskan kepada perancangan yang sistematik dan berstrategi membina keyakinan masyarakat terhadap PAS sebagai kerajaan alternatif ataupun kerajaan menunggu.

Memperkasakan Dewan Himpunan Penyokong PAS sebagai wahana untuk menjadikan saluran bagi menolak fahaman asabiah perkauman tokok pimpinan Umno BN dan NGO upahan seumpama Perkasa yang bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia seterusnya berintima’ dengan perjuangan kita bagi menjamin kesejahteraan dan keadilan untuk semua.

Friday, December 3, 2010

Sudah tiba masanya

masanya sudah tiba....

ayuh lakukan perubahan....

dimana UMNO kuat, disitu Melayu merempat...

minyak pon dah dan akan naik lagi....

maka PAS akan ganti UMNO untuk PRU akan datang...