Tuesday, February 8, 2011

Ucapan 'Salam' tanda hormat Islam

Oleh Editor

http://buletinonline.net/images/stories/berita39/nikzawis.jpgKUALA TERENGGANU – Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh menganggap tindakan Naib Presiden PKR, Tian Chua mengucapkan salam, adalah sebagai menghormati orang Islam.


Menurutnya, orang Islam seharusnya berbangga dengan perkembangan itu yang memperlihatkan orang bukan Islam sudah mula mendekati agama suci itu.

“Kita harap dia dekati Islam dan kita berdukacita dengan mereka yang tidak bersetuju dengan tindakan itu, sedangkan sepatutnya kita berbangga.

“Ini adalah hasil kesedaran dia dan rasa dekat dengan Islam. Kita harap suatu masa nanti dia akan bersama-sama dengan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu ucapan ‘Assalamualaikum’ oleh Tian Chua ketika berceramah di Taman Gunung Emas di Labis 22 Januari lalu sebagaimana yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan.

Nik Zawawi berkata, tidak menjadi sebarang masalah kepada orang bukan Islam untuk memberi salam kerana ia dianggap tidak bercanggah dengan prinsip Islam selagi tidak mempermainkan agama.

“Lainlah kalau dia kata ‘Assam-'alaikum’ kerana ‘Assa’ itu bermaksud celaka. Apa yang disebut Tian Chua tiada masalah,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai tanggapan sesetengah pihak yang beranggapan ucapan tersebut sebagai mainan, beliau menganggap kenyataan sedemikian tidak berasas.

Beliau berkata, masyarakat Islam seharusnya mempelajari berhubung pengucapan salam sama ada ia diucap secara mengejek ataupun sebagai menghormati orang Islam.

“Bagaimanapun, tidak menjadi satu kewajipan kepada orang Islam untuk menjawab salam sekiranya orang bukan Islam yang memberinya tetapi hukumnya harus dan sebaik-baiknya kita jawab,” katanya.-SinarHarian

No comments:

Post a Comment