"Islam PAS dan Islam Umno memang berbeza"
CHUKAI - Harapan rakyat negeri Terenganu untuk menikmati kehidupan yang selesa semakin cerah apabila gagasan 'PAS Ganti Umno' semakin menjadi kenyataan.
Pengarah Majlis Tindakan DUN Chukai, Haji Hanafiah Mat berkata penerimaan baik seluruh rakyat khususnya kaum Tionghua, menunjukkan mereka sudah tidak mahu lagi diperintah oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).
"Dalam tiga puluh orang yang yang saya temui, hanya seorang sahaja yang 'acuh tak acuh', dua puluh sembilan lagi memberikan sokongan yang diluar dugaan,"ujarnya
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan buah limau kepada kaum Tionghua sempena sambutan Tahun Baru Cina disini, semalam.
Menurutnya, program yang dianjurkan oleh Lajnah Perpaduan Nasional. PAS negeri Terengganu itu bertujuan mengeratkan lagi hubungan di antara kaum bersesuaian dengan apa yang diperintahkan Allah dalam al-Quran.
Beliau yang juga Pengerusi Lajnah tersebut mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat Tahun Baru khususnya kepada seluruh rakyat Terengganu berketurunan Cina dan amnya kepada kaum Cina diseluruh negara.
"Allah menjadikan bumi ini kepada semua manusia, berbilang bangsa dan agama dengan tujuan supaya berkenalan dan berbaik-baik di antara satu sama lain, bukannya 'menghodoh' dan mengkhususkan "ini tanah Arab, ini tanah Cina atau ini tanah Melayu",
"Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat menyambut Tahun Baru kepada semua,"katanya yang menyindir kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang mengatakan 'Tanah Melayu Untuk Orang Melayu'.
Beliau menegaskan Islam yang difahami dan diamalkan oleh orang-orang PAS memang berbeza dengan apa yang difahami dan diamalkan oleh orang-orang Umno.
"Bagi orang Umno memilih dan mengangkat pemimpin yang mengamalkan rasuah, cuai dan tidak amanah tak apa, asalkan 'Melayu' yang berkuasa, tetapi bagi PAS ia adalah 'haram' dan berdosa,"jelasnya.
Justeru, katanya, PAS tidak kecewa menghadapi kekalahan di pilihanraya kecil DUN Tenang baru-baru ini, tetapi kecewa dengan sikap orang 'Melayu Umno' yang mengaku diri mereka sebagai orang Islam tetapi mengangkat pemimpin yang cuai dan tidak amanah.
No comments:
Post a Comment