Tuesday, April 19, 2011

Umno yang 'rasis'?

Oleh Awang Harun

Salam For All:

DAP Terengganu ‘berang’ dengan tuduhan seorang pemimpin Umno Terengganu terhadap parti DAP yang disifatkan sebagai tuduhan “liar”. Pemimpin Umno tersebut menuduh Parti DAP sebagai serpihan komunis tidak berasas dan “buta” sejarah.

Pengerusinya, Ng Chai Hing mempertahankan DAP sebagai sebuah parti yang memperjuangkan hak semua rakyat tanpa mengira bangsa, kaum dan ideologi politik.

Katanya, DAP juga sebuah parti politik sah telah lama wujud sejak lebih 45 tahun lalu serta berdaftar dengan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

“Pemimpin Umno yang ‘rasis’ buat tuduhan ‘liar’ yang tidak berasas kononnya DAP ‘komunis’ dan membahayakan negara.

“Kami (DAP) sebuah parti politik yang sah disisi undang-undang telah wujud lebih 45 tahun lalu dan berdaftar dengan ROS (Pendaftaran Pertubuhan Malaysia).

“DAP memperjuangkan hak semua rakyat tanpa mengira bangsa, kaum dan parti politik. Sejarah telah membuktikan DAP bukan parti ‘ekstrim’ seperti tuduhan pemimpin Umno itu,” tegasnya.

Beliau berkata demikian menjawab tuduhan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Muhammad Ramli Nuh yang mendakwa DAP adalah serpihan Komunis pada Majlis Penyerahan e-Book Sekolah-sekolah Rendah Dun Tepoh, di Sekolah Kebangsaan Padang Air, baru-baru ini.

Malah, katanya terdapat di kalangan pemimpin DAP yang terpaksa merengkok dalam penjara kerana membela nasib rakyat di negara ini.

Menurutnya, pemimpin DAP telah menunjukkan komitmen parti bagi membela nasib rakyat meski pun terpaksa dipenjarakan.

“Sejarah telah membuktikan ada di kalangan pemimpin DAP terpaksa merengkok dalam penjara bukan kerana kesalahan jenayah, rasuah atau mengancam keselamatan negara, tetapi kerana berjuang membela nasib rakyat,” jelasnya.

Chai Hing berkata tuduhan liar itu sengaja dilakukan oleh para pemimpin Umno bagi menakutkan orang Melayu agar tidak bersama PAS dan Pakatan Rakyat.

Menurutnya, Barisan Nasional (BN) telah membuat dua tuduhan bercanggah terhadap DAP yang semata-mata bermotif politik murahan.

Katanya, Umno menuduh DAP sebagai anti Melayu yang mengancam Islam dan MCA pula melabelkan DAP “bersekongkol” dengan PAS untuk melaksanakan Negara Islam.

“Rakyat kena cerdik dan bijak menilai perkara sebenar yang berlaku dalam politik negara kita. Pemimpin Umno tuduh DAP anti Melayu dan Islam. Dalam masa sama, MCA pula label DAP khianat dan bersekongkol dengan PAS untuk laksanakan Negara Islam,” ujarnya.

Menurutnya, dua tuduhan berbeza dari satu parti Barisan Nasional yang menyifatkan DAP sebagai anti Islam dan mahukan Islam sekaligus.

Sebenarnya, kata beliau Umno-BN merupakan pemecah-belah masyarakat dan keharmonian perpaduan kaum di negara ini.

NOTA: “ PAKU DIDULANG…PAKU SERPIH..KATA KAT ORANG…DIA YANG LEBIH ”-kam

No comments:

Post a Comment