Oleh Wartawan Buletin
KUALA TERENGGANU - Tempat kenderaan bertingkat automatik (Rotary Type) di Jalan Batu Baru di sini, yang mula beroperasi pada 3 Februari 2011 lalu, dilaporkan hanya mendapat kutipan tidak lebih RM300 sehingga akhir Mac lalu.
Tempat parking tersebut yang menelan belanja RM9.8 juta, adalah dikatakan cetusan idea Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Haji Ahmad Said yang kononnya mampu menyelesaikan masalah tempat letak kereta khususnya di Bandar Raya ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi menegaskan ia adalah satu projek membazir kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu
"(ia) satu lagi projek membazir Umno, saya tegaskan projek ini bukan untuk kemudahan rakyat tapi untuk kroni (yang dapat kontrak pembinaan projek tersebut),"ujarnya ketika dihubungi Buletinonline.
Beliau yang pernah menegur kerajaan negeri dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) mengulangi, ia adalah satu pembaziran yang nyata apabila kerajaan membelanjakan wang rakyat hampir sepuluh juta bagi membina tempat letak kereta tersebut.
Ahmad Said ketika merasmikannya yakin sistem berkenaan mampu menambah tiga kali ganda ruang tempat letak kenderaan, berbanding sedia ada yang hanya boleh memuatkan 86 buah kenderaan.
Katanya, langkah itu juga mampu membendung masalah vandalisme, kejadian langgar lari serta jenayah pecah kenderaan.
“Saya melihat keperluan sistem tempat letak kenderaan ini amat tinggi di bandar raya ini terutamanya ketika musim perayaan dan cuti sekolah, kerana kekurangan tempat letak kenderaan begitu ketara dan menjadi punca utama kesesakan jalan.
“Saya berharap orang ramai dapat menggunakan perkhidmatan ini sebagai tanda sokongan terhadap usaha kerajaan mengatasi masalah itu. Kita akan memberi tempoh percubaan selama seminggu secara percuma,” katanya.
Menurut Datuk Bandar, Dato’ Azlan Dagang sistem itu berkonsepkan “Merry Go-Round” idea Menteri Besar menggunakan teknologi Korea.
Katanya,pelanggan akan dibekalkan dengan e-kad untuk menyimpan dan menuntut balik kereta yang disimpan.
Beliau mendakwa. hanya London dan Tokyo sahaja yang menggunakan Rotary Type seumpama itu dalam usaha menjimatkan kawasan dan keselamatan kenderaan. Pembinaan parking ini juga mampu mengelakkan kes kecurian kereta kerana tahap keselamatan kenderaan lebih terjamin.
Namun begitu, menurut laporan, walaupun pada musim cuti sekolah di antara 11 hingga 19 Mac baru-baru ni, tempat letak kereta tersebut tidak menjadi pilihan kepada pengguna.
Seorang pengguna, Adnan Awang berkata beliau tidak yakin dengan sistem letak kereta tersebut walaupun kerajaan mengatakan ia adalah selamat dan canggih.
"orang fikir (soal) keselamatan, beli kereta sebutir 40 - 50 ribu (ringgit), rasa tempat parking (bertingkat) tak selamat, parking tu letak bawah besi-besi...kalau runtuh atau rosak???,"katanya ketika ditemui
Menurutnya, tempat letak kereta tersebut juga tidak selesa dan mudah, sebagaimana tempat letak kereta biasa, samada di tepi jalan atau tempat lapang.
"Asalkan tempat letak kereta bertingkat di bangunan Pasar Payang pun orang malas nak naik, apa lagi parking jenis baru macam ni,"katanya membuat perbandingan.
Oleh sebab itu, beliau yakin, tempat letak kereta tersebut akan menjadi satu projek gajah putih kerana ia tidak sesuai bagi pengguna.
Pembinaan tempat letak kereta terbabit dibina begitu cepat, memakan masa tidak sampai setahun bermula 9 Mei 2010 dan siap sepenuhnya Disember 2010.
Ia didakwa mampu memuatkan lebih 200 buah kereta serta 32 buah kenderaan pelbagai guna (MPV) pada suatu masa.
Caj yang dikenakan kepada pengguna adalah RM2.50 dikenakan pada 1 jam pertama dan bagi jam berikutnya mereka perlu membayar RM1 setiap jam.
No comments:
Post a Comment