Monday, June 13, 2011

PAS T'ganu sokong penuh pelantikan Wahid Endut

Oleh HarakahDaily

KUALA LUMPUR, 13 Jun:
Timbalan Pesuruhjaya I PAS Terengganu, Datuk Abu Bakar Chik yakin pelantikan Abdul Wahid Endut (gambar) sebagai Pesuruhjaya baru negeri itu mampu mengembalikan negeri itu ke pangkuan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Bercakap kepada Harakahdaily selepas penguman perlantikan itu oleh presiden PAS semalam, beliau berkata pemilihan Abdul Wahid memenuhi hasrat penyokong parti negeri itu.

"Ianya merupakan cadangan presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) kepada mesyuarat dan dipersetujui sebulat suara.

"Ia juga satu keperluan menghadapi pilihan raya untuk mengembalikan semula Terengganu ke pangkuan PAS," katanya yang juga AJK PAS Pusat.

Semalam, Tuan Guru Abdul Hadi mengumumkan lima negeri mengalami perubahan untuk Pesuruhjaya.

Negeri Terengganu- Abdul Wahid Endut, Negeri Sembilan- Mohd Taufek Abdul Ghani, Selangor- Dr Abd Rani Osman, Melaka- Adly Zahari dan Sabah- Aminuddin Halim.

Abdul Wahid menggantikan penyandang sebelum ini, Datuk Harun Taib.

Sambil menyokong perlantikan itu, Abu Bakar Chik berkata ianya memberi peluang kepada pemimpin lebih muda mempimpin parti di negeri itu.

Apatah lagi ujarnya, Abdul Wahid seorang yang berpengalaman ekoran bukan sahaja sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu, malah sudah lima penggal menjadi Adun Wakaf Mempelam dan juga sebagai Timbalan Pesuruhjaya sebelum ini.

"Saya memberi sokongan penuh kepada beliau, dan kita akan menunggu untuk menyusun saf kempimpinan dewan harian yang baru di Terengganu," katanya.

No comments:

Post a Comment